KUALA LUMPUR 9 Mei – Seorang warga emas dari Taman Lindungan, Petaling Jaya hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa tidak dapat mengundi kerana ada pihak lain yang telah berbuat demikian menggunakan nama dan nombor kad pengenalannya.
Pengundi tersebut, M. Krishnavenu, 67 membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way selepas gagal mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kafa Integriti Al-Islamiah, Sungai Way.
Dalam laporan tersebut, dia memberitahu telah datang ke pusat terbabit untuk mengundi pada pukul 11 pagi.
Namun begitu, selepas beratur dan sampai ke kaunter semakan, dia dimaklumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) bahawa telah pun mengundi dan terkejut dengan kenyataan tersebut serta menunjukkan jarinya yang belum ada dakwat kekal.
Tambahnya, dia kemudian tidak dibenarkan untuk mengundi dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana tidak berpuas hati apabila ada orang lain mengundi atas nama serta nombor kad pengenalannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut. – UTUSAN ONLINE










