MALAM tadi, saya menerima panggilan telefon daripada pembantu khas Tengku Razaleigh Hamzah yang saya hanya kenali sebagai abang Lukman.
Abang Lukman memohon saya mengajak rakan media lain ke Palm Manor, kediaman peribadi bosnya berhampiran bulatan Tuan Padang yang menjadi mercu tanda Kota Bharu.
Katanya, calon Barisan Nasional (BN) Gua Musang buat penggal ke-12 berturut-turut itu dan tidak pernah kalah itu mahu ‘berbual’ dengan wartawan yang membuat liputan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kurang lebih pukul 9.30 malam saya tiba di Palm Manor. Rakan-rakan wartawan lain sudah lama berada di situ. Mereka duduk di meja bulat di depan pintu masuk ke kediaman ala Inggeris itu. Di atas meja itu dihidangkan air teh ‘o’ serta mikrofon telah dicacakkan menanti Tengku Razaleigh keluar.
Semua tertanya-tanya apa yang beliau mahu cakap. Mungkin ada perkara penting.
Kira -kira 15 minit kemudian lelaki berusia 81 tahun keluar, berkemeja putih, celana gelap dan bersandal. Beliau senyum. Wajahnya ceria. Dan umumnya PRU-14 kali ini beliau kerja kuat lebih daripada biasa. Seluruh negeri ini beliau pusing. Itu tidak termasuk di luar Kelantan.
Saya tidak mahu mengulang apa isi sidang akhbar kerana telah disiarkan dalam Utusan Online malam tadi lagi pun sisi lain sosok itu lebih menarik untuk dikongsikan.
Malam tadi pertemuan ringkas dan kami amat santai. Hilang dinding penghadang seorang negarawan yang juga anak raja dengan rakyat marhain seperti kami.
Semasa berbual saya bertanya kepada beliau, apakah benar beliau tidak pernah mengundi di Gua Musang.
“Ya, saya mengundi di sini (Kota Bharu) sejak dahulu lagi. Pusat mengundi saya dekat Kampung Sireh. Masa saya Semangat 46 dulu pun saya mengundi di sini.
“InsyaAllah pukul 11 pagi esok saya pergi mengundi selepas itu saya akan terus balik ke Kuala Lumpur,” jawab Tengku Razaleigh.
Kami agak terkejut. Kami memang sudah tahu beliau mengundi di sini cuma hanya mahukan pengesahan tetapi apabila beliau menyatakan akan terus balik ke Kuala Lumpur, itu yang mengejutkan.
Lazimnya calon tidak akan keluar kawasan pada hari pengundian kerana mahu memastikan semua berjalan lancar tetapi tidak bagi beliau.
Saya bertanya lagi, “Tengku tidak mahu meraikan kemenangan dengan jentera dan semua penyokong BN nanti.”
“Cukuplah begitu,” beliau tersenyum.
Malah dikatakan setiap kali hari penamaan calon, BN Gua Musang tidak mengadakan perarakan besar-besaran. Tengku Razaleigh hanya hadir sekejap di pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang dan balik ke rumahnya sebelum pengumuman calon secara rasmi dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya.
“Tetapi kali ini (PRU-14) saya ada lama sikit (di Gua Musang) sebab ramai calon baharu (Dewan Undangan Negeri), saya kena tolong.
“Ada orang kata saya tidak membantu jentera di Gua Musang, saya bantu tetapi ada cara saya, tidak semestinya saya berada di atas pentas ceramah,” katanya.
Tengku Razaleigh yang tidak pernah lekang daripada senyuman sehingga menimbulkan kulit kemerahan di pipinya ternyata ada caranya tersendiri.
Tiada siapa yang tahu bagaimana caranya beliau mengekalkan kekuatan biarpun bertukar parti seketika.
Dan pada ketika berita ini ditulis mungkin beliau sudah berada di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur. Istimewanya Tengku Razaleigh masih kekal disayangi rakyat. – UTUSAN ONLINE










