PUTRAJAYA 9 Mei – Pengundi keluar serentak dalam satu masa menjadi antara punca kesesakan sesetengah tempat mengundi sehingga ramai yang terpaksa beratur panjang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata ramai pengundi memilih untuk mengundi pada awal pagi, namun proses pengundian dilaporkan berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 55 peratus setakat 1 tengah hari.
Dalam sidang akhbar di Menara SPR di sini hari ini, beliau berkata kesesakan itu juga dipercayai berpunca daripada mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tiada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.
“SPR juga telah memaklumkan sebelum ini supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang,” katanya.
Selain itu katanya ‘mood’ pengundi pada PRU kali ini dilihat berbeza apabila kebanyakan mereka teruja untuk mengundi seolah-olah ada satu perayaan besar-besaran yang disambut. BERNAMA










