LANGKAWI – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad menjangkakan peratusan pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini akan kekal melebihi 80 peratus.
Menurutnya, peratusan yang dicatatkan ialah sebanyak 78 peratus sebelum meningkat kepada 84.5 peratus pada PRU-13.
“Setakat ini proses pengundian berjalan lancar dan kita lihat ramai pengundi beratur panjang di pusat-pusat pengudian yang disediakan sejak pukul 8 pagi tadi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
“Berdasarkan senario tersebut, kita jangka peratusan mereka yang keluar mengundi akan kekal melebihi 80 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pengundian di Maktab Mahmud cawangan Langkawi di sini hari ini.
Beliau yang ditemani isterinya, Datin Sabariah Hassan tiba di pusat pengundian itu pada pukul 9.10 pagi sebelum selesai mengundi kira-kira lima minit kemudian.
Tambah Nawawi, beliau menyerahkan keputusan kepada pengundi untuk membuat pilihan dan mengundi dengan menggunakan pemikiran tanpa berlandaskan emosi semata-mata.
“Saya dan jentera parti telah bekerja keras sejak lebih setahun lalu dan sudah melaksanakan apa yang terbaik untuk memenangi hati para pengundi di sini.
“Kini, keputusan terletak kepada pengundi untuk memilih calon dan parti mana yang mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 25 pusat pengundian dibuka bagi Parlimen berkenaan membabitkan 41,109 daripada 42,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi.
Seramai 1,588 orang daripada jumlah itu adalah pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu lalu.
Pada PRU14, Nawawi berdepan pertandingan tiga penjuru menentang pengerusi gabungan pembangkang yang bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tun Dr. Mahathir Mohamad serta calon Pas, Zubir Ahmad.
Nawawi memenangi kerusi itu pada PRU-13 apabila menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein, dengan majoriti 11,861 undi. – K! ONLINE










