Ekonomi negara Teluk mungkin ‘hancur’ akibat zon sekatan Iran - Utusan Malaysia

Ekonomi negara Teluk mungkin ‘hancur’ akibat zon sekatan Iran

IRAN akan melaksanakan penubuhan zon larangan maritim di Teluk Parsi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tindakan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan perang ekonomi terhadap Iran mungkin membawa kepada kehancuran kepada ekonomi negara-negara Teluk kerana Teheran akan melaksanakan zon larangan maritim di rantau itu sebagai tindak balas.

Iran memberi isyarat bahawa kapal-kapal tertentu mungkin dilarang daripada memasuki atau melalui kawasan perairan yang ditetapkan Teheran ketika ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara.

Kapal yang cuba melanggar larangan itu berpotensi dianggap sebagai sasaran serangan oleh Iran.

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Bahrain dan Iraq akan paling terdedah kerana banyak eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) bergantung kepada laluan melalui Teluk dan Selat Hormuz.

Eksport minyak dan LNG boleh terganggu susulan penubuhan zon larangan tersebut. 

Ini kerana sebelum perang, Selat Hormuz membawa kira-kira satu perlima perdagangan LNG dunia dan bahagian yang sangat besar daripada perdagangan minyak melalui laut.

Kapal tangki mungkin enggan belayar kerana risiko sera­ngan, pemeriksaan atau tindakan ketenteraan akan meningkatkan kos insurans dan pengangkutan.

Hasil eksport negara Teluk boleh jatuh jika mereka tidak dapat menghantar minyak dan gas seperti biasa.

Qatar khususnya sangat ter­dedah kerana sebahagian besar eksport LNGnya bergantung pada laluan tersebut. 

Gangguan di Selat Hormuz sebelum ini telah mengurangkan bekalan LNG dari Qatar dan UAE dengan ketara.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Moh­sen Rezaei memberi amaran bahawa perang itu akan dibalas dengan zon larangan maritim merentasi Teluk Parsi.

“Perang ekonomi akan dibalas dengan zon larangan maritim merentasi Teluk Parsi hingga ke perimeter sekatan,” kata Rezaei dalam satu hantaran di platform X ketika perang Iran yang bermula 28 Februari masih belum berakhir. Zon itu akan bermula dari garisan sekatan laut AS  dan meliputi sebahagian kawasan Teluk Parsi, dengan kapal yang memasukinya untuk menuju ke Selat Hormuz kemungkinan dikenakan sekatan.

Beliau juga berkata, Washington menerima isyarat yang jelas sejak beberapa hari kebelaka­ngan ini menerusi demonstrasi peluru berpandu terbaharu Teheran.

Rezaei merujuk kepada peluru berpandu paling canggih miliknya, Qassem Basir yang dilancarkan ke arah kapal perang AS sebelum ini.

Iran menyifatkan Qassem Basir sebagai peluru berpandu yang dinaik taraf dengan ke­upayaan pergerakan lebih baik, membolehkannya mengelak sistem pertahanan peluru berpandu, selain dilengkapi sistem panduan yang untuk menghadapi peperangan elektronik. 

Ancaman zon larangan mari­tim juga dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan kos ekonomi terhadap rakyat AS sebagai tindak balas kepada tekanan dan sekatan yang kini dirasai Iran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×