TANAH MERAH 9 Mei – Sepasang suami isteri warga emas telah mencuri perhatian apabila mengenakan pakaian sedondon ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria 1 di sini pagi tadi.
Pasangan Nik Mustapha Nik Daud, 83, dan isterinya, Esah Idris, 78, masing-masing mengenakan baju kemeja dan baju kurung berwarna hitam putih.
Mereka tiba di pusat mengundi seawal pukul 7.30 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Menurut Esah, dia dan suaminya bangun pada pukul 5 pagi lagi kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi yang hanya datang lima tahun sekali.
“Jadi, hari ini, saya datang bersama anak dan kami begitu bersemangat untuk mengundi.
“Setiap kali ingin ke mana-mana, saya dan suami akan sentiasa mengenakan pakaian sedondon bagi memudahkan saya mengenalpasti suami yang mengalami masalah mudah terlupa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










