KUANTAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun enam bulan mengalami detik cemas hampir setengah jam selepas lehernya tersepit di celah pagar keselamatan kanak-kanak di rumahnya di Taman Desa Bangau, Temerloh hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu kanak-kanak berkenaan pada pukul 9.05 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, seorang kanak-kanak perempuan didapati berada dalam keadaan meniarap dengan lehernya tersepit pada pagar keselamatan kanak-kanak di dalam rumah itu.
Berita berkaitan:
“Anggota bomba kemudian menggunakan pemotong besi dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam tempoh lima minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama











