KUALA LUMPUR – Seorang ibu menuntut ganti rugi khas RM108,356 terhadap pegawai perubatan, doktor termasuk dua pengarah hospital serta dua hospital kerajaan atas kecuaian tersalah potong kepala zakar anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, lapan tahun lalu.
Tuntutan ganti rugi khas itu bagi kos perubatan, ganti rugi am, faedah dan kos kehakiman.
Ibu remaja tersebut memfailkan saman dengan menamakan pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang (defendan pertama); pegawai perubatan dan pengarah hospital itu (defendan kedua dan ketiga); doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang (defendan keempat dan kelima) serta kerajaan (defendan keenam).
Saman itu difailkan melalui Tetuan Mohamad Zainuddin & Co. pada 19 Julai lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, pada 13 Disember 2010 di Penjom, Kuala Lipis, Pahang, pembantu perubatan itu yang juga berkerja di Hospital Kuala Lips mengkhatankan kanak-kanak itu dengan seorang pembantu.
Akibat daripada perbuatan cuai, kemaluan zakar plaintif telah terputus termasuk darah keluar yang sangat banyak. Dakwa plaintif, pembantu perubatan itu cuba menyambung semula kemaluan terputus dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.
Kemudian, pembantu perubatan tersebut membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Kuala Lipis.
Ibu remaja terbabit mendakwa pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis tidak memberikan rawatan dengan segera dan memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa saluran kencing telah putus.
Ekoran itu, remaja tersebut dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Proses pembedahan penyambungan semula telah dilakukan dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.
Namun, selepas 35 hari pembedahan, ibu mangsa melihat penutup getah yang menutup zakar anaknya dan terkejut melihat kepala zakar anaknya sudah terpotong.
Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, pengarah Hospital Selayang memberi jaminan bahawa kepala zakar akan tumbuh apabila mencapai usia akil baligh.
Bagaimanapun, kepala zakar anaknya yang kini berusia 18 tahun tidak tumbuh sehingga menyebabkan kecacatan kekal.
Dalam pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom, plaintif diwakili peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar dan Nur Eliza Abd. Rashid. Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk pengurusan kes seterusnya.











