LONDON 25 Nov. – Mauricio Pochettino percaya Tottenham mampu melakukan kejutan besar, musim ini, jika mereka terus mengekalkan rentak konsisten seperti yang dipamerkan sewaktu membenam Chelsea 3-1 di Stadium Wembley, hari ini.
Setelah menghadiahkan kekalahan sulung kepada Maurizio Sarri dalam aksi kompetitif selaku bos Chelsea yang menyaksikan Spurs memintas Blues ke tangga ketiga carta Liga Perdana Inggeris, Tottenham memulakan langkah positif sebelum menentukan hidup atau mati mereka pada Liga Juara-Juara menentang Inter Milan dan aksi derby dengan Arsenal menyusul selepas itu.
“Kami perlu terus merendah diri dan mengekalkan persembahan seperti ini kerana kami mampu mencipta kejutan besar jika berbuat demikian. Cabaran kami ialah terus beraksi konsisten. Itulah cabaran sehingga musim ini berakhir,” kata Pochettino.
Kemenangan yang dicatat Spurs menyaksikan mereka kembali merapatkan jurang lima mata dengan pendahulu, Manchester City dan tiga mata dengan pasukan di tempat kedua, Liverpool.
Perebutan gelaran kelihatannya seperti sukar digapai anak-anak buah Pochettino yang terpaksa berdepan kecemerlangan City, tetapi melayakkan diri buat kali keempat berturut-turut dalam Liga Juara-Juara merupakan satu kejayaan pada ketika kelab terpaksa menanti untuk berpindah ke stadium mereka sendiri dan berdepan isu kecederaan selepas Piala Dunia.
Dele Alli, salah seorang sembilan pemain dalam skuad Pochettino yang berdepan kecederaan otot selepas aksi di Rusia, tetapi dia kembali cergas dan hampir mendapatkan prestasi terbaiknya, selepas menanduk masuk gol pembukaan Spurs menerusi sepakan percuma Christian Eriksen.
“Chelsea sebuah pasukan handalan dan mereka memiliki pemain hebat, tetapi kami juga bukanlah calang-calang lawan.
“Ketika mendahului 2-0, kami sepatutnya boleh menarik nafas lega, tetapi tidak mampu berbuat demikian. Kami berjaya mencipta banyak peluang, mungkin satu hari nanti, jika kami bermain lebih klinikal, kami mampu menyumbat lebih banyak gol,” kata Alli.
Dua lagi gol Tottenham disempurnakan oleh Harry Kane (minit ke-16) dan Son Heung-min (minit ke-54), sebelum Olivier Giroud menjaringkan gol sagu hati buat Chelsea pada minit ke-85. – AFP











