KUALA PENYU – Tiga sekeluarga ditemui mati dalam keadaan rentung selepas rumah kayu yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Junkon, Menumbok dekat sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, pasangan suami isteri, Yamal Suhud, 80, dan Saadah Mumin, 70, serta anak lelaki mereka, Ismail Yamal, 45, dipercayai sedang tidur ketika kebakaran berlaku.
Difahamkan, pasangan suami isteri tersebut tidur di bahagian ruang tamu manakala anak mereka pula tidur di bilik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan.
Jarak antara lokasi kejadian dengan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu ialah kira-kira 43 kilometer.
“Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi memastikan kawasan sekitar selamat.
“Bagaimanapun, bomba dimaklumkan bahawa ketika kejadian terdapat tiga individu berada di dalam rumah tersebut,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











