Beri kuasa kepada DBP - Utusan Malaysia

Beri kuasa kepada DBP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
AMAT mendukacitakan apabila terdapat dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak menghormati Perlembagaan negara. Penggunaan tulisan Cina pada papan tanda nama jalan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, jelas melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu – hendaklah digunakan kepada perkara-perkara rasmi, termasuk papan tanda di tempat-tempat umum.

Kita amat kesal kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan semata-mata menurut kehendak sesuatu kaum. Tidakkah mereka terfikir bahawa Malaysia adalah negara berdaulat yang mempunyai identiti tersendiri. Identiti kita adalah untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kerana itu, sewajarnya pihak-pihak yang berani melanggar Perlembagaan negara diberi amaran atau tindakan. Jika tidak, ramai lagi yang akan berani bertindak sesuka hati.

Rakyat menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang begitu tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Amatlah kita berharap sultan dan pemimpin negara yang lain turut bertindak sedemikian apabila berlaku perlanggaran terhadap Perlembagaan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tertanya-tanya adakah kefahaman pemimpin kanan kerajaan di Selangor mengenai Perlembagaan negara terlalu cetek sehingga menyebabkan perkara ini berlaku?

Oleh itu, sewajarnya terdapat badan khusus diberi kuasa memantau pelanggaran Perlembagaan ini terutama penggunaan bahasa di negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) misalnya patut diberi kuasa. Dewan Rakyat wajar meluluskan kuasa tersebut. Sudah lebih 60 tahun negara kita merdeka, namun kuasa itu belum lagi diberikan.

Jika negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia begitu mempertahankan penggunaan tulisan dan bahasa masing-masing, mengapa negara kita tidak boleh berbuat demikian?

Di manakah kewibawaan pemimpin kita dalam menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan?

Sama-samalah kita berdoa agar perkara yang berlaku di bandar raya Shah Alam tidak berulang di tempat lain.

PENCINTA BAHASA
Kangar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini