SEMANGAT dan keyakinan skuad hoki negara akan lebih meningkat jika terus mendapat sokongan padu daripada ‘pemain ke-12’ iaitu para peminat sukan tanah air bagi menghadapi pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula Rabu ini hingga 16 Disember depan.
Malaysian Tigers, No. 12 dunia, akan beraksi dalam Kumpulan D yang dianggap ‘kumpulan maut’ kerana bakal berhadapan tiga bekas juara iaitu finalis empat tahun lalu, Belanda (No. 4 dunia), Jerman (No. 6 dunia) dan Pakistan (No. 13 dunia).
Barisan kejurulatihan diketuai ketua jurulatih, Roelant Oltmans dan para pemain percaya mampu melepasi halangan peringkat kumpulan dalam misi mencapai sasaran menghuni kelompok 10 terbaik dunia meskipun sedar ia bukan tugas mudah.
Justeru, kapten skuad negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menyeru semua penyokong Malaysia termasuk mereka yang tidak pernah mengikuti perkembangan hoki untuk memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan mereka pada kempen Piala Dunia 2018.
“Sebagai pemain, kami perlu ada karakter yang kuat untuk menerima hakikat, ada masa akan disanjung dan dikritik. Ia satu perkara normal kami akan dikritik apabila kalah.
“Buat peminat yang kurang melihat hoki, cukup sekadar menyokong dan mendoakan kejayaan kami. Ia amat bermakna buat kami.
“Harapan saya agar anda semua dapat terus menyokong kerana kami memerlukan sokongan para peminat sama ada kami berada di atas atau di bawah,” katanya.
Malaysian Tigers dilihat berada pada tahap terbaik untuk menghadapi kempen Piala Dunia 2018 selepas akhirnya berjaya menumbangkan pasukan No. 9 dunia, New Zealand 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Skuad negara yang bertolak ke Bhubaneswar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) malam tadi akan memulakan kempen Kumpulan D menentang Belanda di Stadium Kalinga pada 1 Disember, diikuti Pakistan (5 Disember) dan Jerman (9 Disember).
Malaysian Tigers tidak pernah mencatatkan kemenangan ke atas Belanda sejak menang 2-1 sewaktu Piala Dunia 1975 dan pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan pada Trofi Juara-Juara 2007 menyaksikan skuad negara tewas 1-3 kepada gergasi Eropah tersebut.











