CIA tidak boleh dipercayai - Utusan Malaysia

CIA tidak boleh dipercayai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI 25 Nov. – Seorang kerabat diraja Arab Saudi melahirkan ke­raguan mengenai laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mendakwa Putera Mahkota negara itu, Putera Mohammed Salman mengarahkan pem­bunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul, Turki pada bulan lalu.

Putera Turki al-Faisal menyatakan bahawa CIA tidak boleh dipercayai kerana membuat ke­simpulan tidak berasas.

“CIA tidak semestinya menjadi tahap piawaian tertinggi dalam menentukan sesuatu si­tuasi tersebut,” katanya.

Turki yang juga merupakan bekas ketua perisikan Arab Saudi pernah berkhidmat sebagai Duta ke Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kesimpulan yang dibuat oleh agesi itu me­ngenai Iraq menghasilkan senjata kimia sebelum pencerobohan AS pada 2003 juga tidak boleh diguna pakai.

Katanya, kesimpulan tersebut disifatkan paling tidak tepat dan salah sehingga menyebabkan konflik pepera­ngan di Iraq semakin teruk dengan menyaksikan banyak nyawa tidak bersalah menjadi korban.

“Ini adalah pandangan saya mengenai laporan CIA tentang pembunuhan Jamal di Konsulat Arab Saudi di Istanbul,” ujarnya.

CIA sebelum ini menyimpulkan bahawa Putera Mohammed mengarahkan operasi pembu­nu­han Jamal dan perkara itu dilaporkan buat pertama kalinya menerusi satu artikel dalam akhbar Washington Post.

Akhbar tempatan Turki juga melaporkan bahawa Ketua Pengarah CIA, Gina Haspel memberi isyarat kepada pegawai-pegawai Turki bahawa agensi berkenaan mempunyai rakaman yang menjelaskan Putera Mohammed memberi arahan supaya membunuh Jamal.

Jamal dibunuh dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu selepas memasuki premis berkenaan untuk mendapatkan dokumen bagi me­langsungkan perkahwinan de­ngan tunangnya, Ha­tice Cengiz. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×