Remaja maut kemalangan - Utusan Malaysia

Remaja maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 25 Nov. – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak ketika berada di sisi anak kesayangannya yang sudah tidak bernyawa di bahu jalan, di Kampung Syed Omar, di sini hari ini.

Bergenang air mata wanita itu saat mengusap kepala anaknya ketika menanti pasukan perubatan memeriksa keadaan mangsa yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Mangsa, Mohammad Ariff Bakri, 19, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tercampak sejauh kira-kira 20 meter selepas motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Difahamkan mangsa bersama sekumpulan rakan menunggang motosikal di kawasan itu sebelum mangsa cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Bagaimanapun, ketika memotong kenderaan tersebut, mangsa tidak sempat mengelak seterusnya bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×