BOTA – Kegiatan sekumpulan lima lelaki memecah masuk dan menyamun sebuah kedai runcit di sini terbongkar selepas mereka berlima termasuk ketua kumpulan berusia 16 tahun ditahan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek yang berusia 16 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini.
“Tangkapan dilakukan selepas satu laporan berkaitan kes pecah masuk kedai runcit berkenaan pada 7 Oktober dan 14 serta 22 November lalu melibatkan jumlah kerugian RM7,000.
“Siasatan mendapati kumpulan ini telah aktif melakukan pecah masuk kedai runcit di sekitar daerah ini dengan modus operandi mencuri sejumlah besar rokok dan kad tambah nilai prabayar pada awal pagi sehingga sebelum Subuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Zainal, polis berjaya merampas 21 kotak rokok pelbagai jenama, enam kad tambah nilai serta tiga unit tablet.
“Hasil soal siasat mendapati mereka berlima mengaku melakukan kesemua kes pecah masuk kedai runcit berkenaan seperti yang dilaporkan.
“Hasil ujian air kencing pula mendapati tiga daripada mereka positif dadah iaitu seorang penganggur lelaki berusia 29 tahun, seorang mahasiswa berusia 18 tahun dari sebuah kolej di Ipoh dan seorang lagi remaja berumur 16 tahun yang tidak bersekolah,” katanya.
Katanya, kelima-lima suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan dua lagi rakan mereka iaitu Meor Musthaqiim Meor Taadjuddin dan Mohamad Kamimi Redzuan Othman yang berusia lingkukan 20-an bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE











