KUALA LUMPUR 25 Nov. – Usahawan tani wanita di negara ini berpeluang untuk mendapat pembiayaan mikro sehingga RM30,000 melalui skim Agro Nisaa’i khusus untuk golongan itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif kerajaan melalui Agrobank itu digerakkan melalui pembentukan kumpulan dengan lima orang ahli.
Beliau berkata, bagi mengelakkan dana berkenaan disalah guna, para peminjam akan dipantau oleh pegawai bank yang mana turut berperanan sebagai pembimbing.
“Skim ini akan membasmi kemiskinan dan mengangkat taraf wanita daripada kemiskinan.
“Satu laluan untuk mereka maju di masa akan datang. Saya yakin dengan pemantauan daripada pihak Agrobank, kawal selia yang kompeten dan juga sikap wanita itu sendiri, 97 peratus akan bayar balik apabila diberi pinjaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Agro Nisaa’ i di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











