JOHOR BAHRU 25 Nov. – Pasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir berjaya membawa turun seorang lelaki yang cedera dan patah tulang paha ketika beriadah di Gunung Ledang, Tangkak hari ini.
Komander Operasi dari balai berkenaan, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Khairul Sufian Dahri berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian pukul 1.06 petang sebelum sebuah jentera dengan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Mangsa berumur 32 tahun bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakannya menaiki kawasan tersebut untuk beriadah dan mandi-manda apabila dia tergelincir di kawasan berbatu dan terjatuh.
“Mangsa telah mengalami kecederaan dan patah tulang paha dan dibawa turun oleh pihak bomba dari lokasi kejadian yang berketinggian 274 meter sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











