KOTA BHARU 19 Nov. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 16 buah van dan dua pacuan empat roda milik persendirian dari negara jiran yang dipercayai digunakan bagi memunggah barang perdagangan untuk di bawa masuk ke negeri ini.
Kesemua kenderaan tersebut ditahan dalam Ops Khas Sempadan disertai 37 pegawai dan anggota dengan diketuai Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohd. Apandi Jusoh bermula dari pukul 5 pagi hingga 8 pagi tadi.
Kenderaan yang dikatakan memunggah barangan makanan mentah seperti sayur-sayuran, ikan, buah-buahan dari negara jiran itu kelihatan berleluasa di negeri ini sehingga menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya lain.
Malah, warga asing terbabit dikatakan tidak gentar melakukan perbuatan tersebut apabila hasil risikan jabatan itu mendapati sebanyak 60 hingga 70 buah kenderaan dari Thailand masuk ke negeri ini setiap hari melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, dekat sini.
Pengarah JPJ negeri, Mahasan Mustapa berkata, pihaknya menerima banyak aduan serta rungutan penduduk berhubung kesalahan yang dilakukan kenderaan terbabit sehingga ada yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Dalam Ops ini kita membuat dua sekatan jalan raya iaitu di pos AKSEM Simpang Empat Salam dan Jalan Rantau Panjang – Lubok Stol di Rantau Panjang.
“Pemandu atau peraih ini hanya menunjukkan lesen memandu Thailand semasa ditahan. Mereka didapati melakukan kesalahan tidak menyelenggara kenderaan, mengubahsuai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta beberapa kesalahan teknikal lain.
“Malah ada di antaranya sudah terlalu uzur sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan barangan yang dibawa masuk dari negara jiran itu dihantar ke seluruh negeri ini sehingga ke kawasan luar bandar.
Beliau berkata, kesemua kenderaan tersebut dipandu lelaki dan wanita berusia 20-an sehingga 50-an itu disita dan dibawa ke JPJ Panji di sini sebelum diberikan 81 notis mengikut Seksyen 64 (1) dan Seksyen 59 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tambahnya, pemilik serta kenderaan itu turut disiasat mengikut Seksyen 23 (2) dan Seksyen 6 (1) APJ 1987. – UTUSAN ONLINE











