PORT DICKSON – Polis Negeri Sembilan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.14 juta di tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam (Kualiti Alam Sdn. Bhd.) di Bukit Pelanduk dekat sini, hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dadah hampir 74 kilogram (kg) yang dilupuskan merupakan bahan bukti perbicaraan kes narkotik sejak tahun 2000 hingga tahun lalu.
“Barang kes yang dilupuskan turut melibatkan sejumlah 333 liter air ketum di samping
dadah jenis heroin seberat 3.38 kg, ganja (4.2 kg), methampetamine (4.48 kg), ketamin (0.3 gram), Eramin 5 (12.38 kg) dan daun ketum (49 kg).
“Kesemua barang kes melibatkan 1,449 kertas siasatan yang telah selesai menjalani prosiding mahkamah seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sini, pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop serta Ketua JSJN negeri, Deputi Superintenden Pang Jin Lai. – K! ONLINE











