SEREMBAN 19 Nov. – Bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram yakin beliau akan dicalonkan semula oleh parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kemungkinan diadakan kelak.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau adalah calon yang perlu diberi peluang selain layak bertanding kerusi berkenaan.
“Anwar telah sebut dalam Kongres (Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam) semalam bahawa saya mesti diberi peluang bertanding kerana tidak putus asa selepas dinafikan peluang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan lawan kes itu di mahkamah.
“Manakala Rafizi sudah membuat kenyataan terbuka bahawa saya adalah calon terbaik kerana telah meletakkan asas yang kukuh untuk PKR bersaing di Rantau semasa PRU-14,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam sidang akhbar semasa Kongres Nasional PKR Ke-13, kelmarin, Anwar mengesahkan Rafizi adalah antara nama yang diangkat sebagai calon untuk bertanding dalam PRK DUN Rantau.
Bagaimanapun , Rafizi yang bercakap kepada para pemberita dalam kongres tersebut memberitahu, adalah lebih adil sekiranya Dr. Streram dicalonkan semula untuk bertanding di DUN tersebut seandainya pilihan raya kecil perlu diadakan.
“Ya betul saya berkempen di Negeri Sembilan, tetapi saya melakukannya untuk Dr. Streram.
“Jika saya dibayar RM1 juta untuk bertanding sekali pun, saya tidak akan menerimanya kerana ia tidak adil kepada beliau,” kata Rafizi.
Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.
Mohamad, yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding selepas Dr. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April lalu kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya. – UTUSAN ONLINE











