NIBONG TEBAL 19 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy supaya tidak sesekali menyentuh isu sensitif membabitkan hal ehwal agama serta perpaduan di negara ini.
Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, jika keadaan itu berterusan, tidak mustahil gelombang kebangkitan rakyat akan berlaku sekali lagi.
“Ingat, kami (orang Melayu dan bumiputera) ada maruah dan kamu juga ada maruah. Ingat juga bahawa jika kamu ada fahaman, kami juga ada fahaman.
“Jadi, jangan sentuh atau cuba ‘bermain api’ dalam isu-isu senitif seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau serta kira-kira 20 ahli UMNO Bahagian Nibong Tebal dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi, di sini pagi ini.
Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah oleh pemimpin berkenaan dalam rakaman video berdurasi lebih dua minit yang tular di media sosial, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











