KUALA LUMPUR 18 Nov. – Selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, pelakon jelita Nur Fasha Sandha Hassan, 34, akhirnya mengikat tali pertunangan dengan aktor Aidil Aziz, 31, dalam satu majlis tertutup di sini, hari ini.
Berkongsi perasaan, Fasha mengakui, walaupun pernah melalui episod kegagalan dalam perkahwinan terdahulu namun itu tidak pernah dijadikan alasan untuk menutup pintu hatinya kepada lelaki lain.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap hubungan ini berkekalan,” katanya.

Menurut Fasha, Aidil yang dipanggil Pak Ngah itu telah melamarnya pada 21 Jun lalu dan dia mengambil masa beberapa bulan sebelum menerima lamaran tersebut.
“Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya namun saya lihat kualiti yang ada dalam diri Aidil.
“Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa dan bijak mengambil hati mereka berdua. Malah Aidil juga pandai menghormati ibu bapa dan keluarga saya,” katanya yang mula rapat dengan Aidil sejak bekerjasama dalam sitkom Mamu Mami Gosip, awal tahun ini.
Majlis pertunangan mereka hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat itu termasuk ibu bapa Aidil, Ibu Aidil, Rokkiah Md Noor dan Abdul Aziz Ishak dan ibu Fasha, Hatijah Tehman.











