KUALA LUMPUR 18 Nov. – Peningkatan kadar bersara awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis bukan sahaja berpunca daripada beban kerja yang banyak tetapi juga disebabkan tidak tahan dengan kerenah ketua yang sering memberi tekanan sehingga mengganggu emosi dan kesihatan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, keadaan tersebut adalah sebahagian besar punca anggota atau pegawai memilih untuk bersara awal kerana terlalu tertekan dengan sikap ketua yang hanya tahu memberi arahan tanpa mempedulikan emosi pekerja bawahan.
“Sikap ketua terlalu garang dengan pekerja selain hanya tahu memberi arahan tanpa memikirkan perasaan dan keadaan pekerja bawahan juga mendorong anggota untuk memilih bersara awal.

“Memang sejak dahulu lagi, polis menghadapi keadaan tersebut dan menjadi hak mereka untuk bersara awal sekiranya mempunyai alasan tertentu, namun bukan membimbangkan kerana kita perlu membuat perancangan awal dalam mengatasi keadaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mendedahkan seramai 2,446 anggota dan pegawai polis telah bersara awal sehingga Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, golongan yang bersara awal juga kemungkinan berdepan dengan masalah termasuk tindakan tatatertib yang disebabkan rasuah dan disiplin lain.
“Lebih baik mereka bersara daripada dikenakan tatatertib yang membolehkan mereka diberikan hukuman buang kerja sehingga menyebabkan pencen juga tidak diberikan,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin pula berkata, satu kajian perlu dibuat segera bagi mengatasi permasalahan tersebut supaya keadaan tidak berlanjutan.
Beliau juga berpandangan, inisiatif tambahan perlu diberikan kepada anggota badan beruniform itu supaya memberi semangat baharu selain mampu dilihat sebagai penyelesaian masalah berkenaan.











