Coklat tempe Missla popular - Utusan Malaysia

Coklat tempe Missla popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK 18 Nov. – Hidangan tempe bukan­lah juadah asing bagi penduduk di negara ini meskipun sering dikaitkan sebagai makanan kegemaran dan popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

Penerimaan baik masyarakat terhadap makanan yang ka­ya dengan pel­bagai khasiat itu juga menyaksikan pelbagai inovasi dilakukan bagi mewujudkan menu baharu berasaskan tempe.

Jika dahulu tempe hanya digoreng biasa atau dimasak untuk dijadikan hida­ngan dan dimakan bersama nasi, jangan terkejut jika coklat yang dijamah kini berisi tempe di dalamnya.

Itu cubaan yang diketengahkan oleh usahawan bumiputera, Junaidah Moin, 46, apabila usahanya menghasilkan produk coklat tempe diterima baik oleh penggemar kedua-dua makanan itu.

Meskipun pada mulanya ke­dengaran agak janggal, siapa sangka produk yang diusahakan sejak tahun 2014 itu semakin popular dan digemari ramai sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menceritakan kembali bagai­mana idea menggabungkan kedua-dua makanan kegemaran ramai itu bermula, Junaidah berkata, ia adalah ilham anak lelakinya yang mencadangkan dia melakukan pembaharuan bagi perusahaan tempenya.

Bermula daripada cadangan itu katanya, dia tidak me­ngambil masa yang lama untuk mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, melalui bantuan penyelidik di agensi itu, dia akhir­nya berjaya memperoleh rasa dan kualiti yang dimahukan bagi penghasilan coklat tempe yang kemudian dipasarkan dengan nama komersial Soyabean Chocolate di bawah jenama Missla.

“Lapan bulan saya berulang alik ke MARDI dan berpuluh-puluh kali percubaan dilakukan bagi memastikan produk yang dikeluarkan ini benar-benar bagus dan sesuai ­untuk dipasarkan.

“Sepanjang tempoh itu, saya dibantu oleh penyelidik di sana bagi mendapatkan rasa yang tepat iaitu tidak terlalu manis dan berlemak, tahan lama serta bentuk yang sesuai untuk coklat sebelum memasuki pasaran,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ditanya bagaimana cara pemprosesan coklat tempe tersebut, Junaidah berkata, tempe akan diproses semula dengan cara dihancurkan sebelum dipanggang sehingga kering.

Katanya, tempe yang rangup dipanggang kemudiannya akan dikisar dan dimasukkan ke dalam adunan coklat sebelum dipindahkan ke dalam acuan lain.

“Sebaik sahaja coklat itu sejuk, ia akan dibungkus rapi. Biasanya dalam sehari, kami boleh menghasilkan sehingga 2,000 biji coklat tempe,” katanya.

Menurut Junaidah yang me­ng­usahakan perusahaan tempe sejak tahun 2006, langkahnya menyertai Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) pada tahun 2014 dengan memperkenalkan Soyabean Chocolate disifatkan sebagai langkah kanan yang membawa tuah kepadanya.

Katanya, siapa sangka penyertaan kali pertama itu berjaya menarik pembeli dari China dan Singapura yang membeli coklat tempe buatan syarikatnya dalam kuantiti yang banyak.

“Tempe ini sebenarnya biasa sahaja namun apabila sudah diinovasikan menjadi coklat tempe, ia menjadi luar biasa. Saya sendiri tidak sangka coklat tempe ini boleh menembusi pasaran antarabangsa.

“Sekarang pun produk ini te­lah sampai ke Dubai dan Brunei Darussalam. Dengan penerimaan baik masyarakat tempatan dan luar, saya berharap produk ini akan lebih dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×