KUANTAN 18 Nov. – Asrama sementara bakal diwujudkan sekiranya berlaku limpahan air atau terputus hubungan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk ke pusat peperiksaan sepanjang ia berlangsung.
Pegawai Pendidikan daerah, Mohd. Razali Mustafa berkata, pusat peperiksaan tumpangan juga diwujudkan bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan seperti biasa.
“Pendekatan ini antara dua kaedah di bawah Operasi Payung (Op Payung) yang dirangka Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi mengatasi masalah jika berlaku banjir.
Berita berkaitan:
“Memandangkan musim tengkujuh baru bermula, saya lihat ini satu kaedah terbaik bagi membantu calon SPM dan STPM menduduki peperiksaan meskipun berdepan dengan musibah,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon yang menduduki SPM di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Razali, pihaknya telah memberi taklimat kepada guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar menguruskan dan bertanggungjawab jika situasi itu berlaku.
“Selain menyediakan asrama sementara, PIBG perlu menyediakan makanan kepada calon-calon yang terlibat termasuk menjaga keselamatan mereka
“Jawatankuasa yang terdiri daripada guru, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan PIBG bertanggungjawab untuk membawa pelajar ke pusat peperiksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pusat peperiksaan tumpangan pula dilaksanakan sekiranya calon tidak dapat ke sekolah berikutan terputus laluan akibat banjir.











