MILAN 18 Nov. – Portugal tidak akan menyisihkan Cristiano Ronaldo daripada skuad kebangsaan, biarpun beraksi cemerlang tanpa penyerang Juventus itu dengan menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, hari ini.
Kejayaan mengikat Itali 0-0 di San Siro membolehkan juara Eropah itu muncul juara Kumpulan 3 biarpun masih memiliki baki satu perlawanan menentang Poland, Selasa ini.
Kali terakhir Ronaldo, 33, beraksi buat negaranya adalah pada Piala Dunia di Rusia, Julai lalu, yang mana Portugal tersingkir di pusingan kedua selewas tewas kepada Uruguay.
Beraksi tanpa Ronaldo, Portugal mengharungi tiga perlawanan Liga Negara-Negara Eropah bersama dua kemenangan, satu keputusan seri.
“Tiada keraguan. Kalau anda ragu-ragu, saya tidak tahu.
“Bagaimanapun bagi kami, Ronaldo adalah sebahagian daripada pasukan ini,” kata pengendali Portugal, Fernando Santos dalam sidang akhbar hari ini.
Santos juga meminta semua pihak agar tidak mempersoalkan peranan bintang Juventus itu, yang masih memegang rekod penjaring terbanyak iaitu 85 jaringan daripada 154 perlawanan.
Dalam aksi di Milan hari ini, Itali, yang masih dibayangi kegagalan melayakkan diri ke Piala Dunia gagal mengembalikan keyakinan peminat selepas terpaksa melupakan separuh akhir Liga Negara-Negara.
Skuad bimbingan Roberto Mancini itu melancarkan asakan bertali arus ke kubu Portugal di depan 73,000 penonton, begitu pun gagal memecah kebuntuan.
Portugal yang sebelum ini menewaskan Itali 1-0 di Lisbon, terpaksa menahan asakan tuan rumah dengan Lorenzo Insigne dan Ciro Immobile hampir sahaja membolosi pintu gol mereka beberapa kali.
“Kami bermain dengan cemerlang tetapi gagal memecah kebuntuan.
Kami menguasai permainan tetapi memperlahankan rentak selepas minit ke-70.
“Ia memang sudah dijangka kerana kami tidak mampu untuk terus berada dalam kawasan mereka sepanjang 90 minit permainan,” kata Mancini. – AGENSI











