Wan Azizah dilantik Pengerusi Majlis Penasihat PKR - Utusan Malaysia

Wan Azizah dilantik Pengerusi Majlis Penasihat PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Nov. – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR demi mengenangkan jasa beliau menerajui parti itu sejak 20 tahun lalu.

Pelantikan itu juga dilihat sebagai menghormatinya yang tidak bertanding dalam Pemilihan PKR untuk penggal 2018-2021 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal ditabalkan sebagai Presiden baharu PKR esok.

Keputusan pelantikan itu dibuat menerusi usul khas dalam Kongres Nasional PKR 2018 yang berlangsung di sini hari ini dan disokong sebulat suara oleh ahli-ahli parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, usul itu merupakan cadangan hasil mesyuarat ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi bagi memastikan Wan Azizah terus berperanan aktif kepada parti.

“Kita belum menetapkan secara khusus tugas Majlis Penasihat ini. Maklumat lanjut berkenaan fungsi, tanggungjawab dan komposisi majlis akan diumumkan kelak.

“Secara dasarnya, majlis ini akan mengambil segala pengalaman yang ada pada Wan Azizah dan beberapa tokoh lain dalam memberikan pandangan supaya PKR kekal mengikut landasan perjuangan dan membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita.
 
Kata Fahmi lagi, memandangkan Kongres Nasional adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti, maka Majlis Penasihat PKR sah diwujudkan.

Sebelum itu, ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir mencadangkan peranan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri turut dikekalkan mengikut tempoh Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sebelum digantikan Anwar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×