‘Parlimen ada, DUN pun ada’ - Bersatu Kelantan - Utusan Malaysia

‘Parlimen ada, DUN pun ada’ – Bersatu Kelantan

Pengerusi Perhubungan BERSATU Negeri Kelantan Datuk Kamaruddn Md Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan tidak akan mendedahkan jumlah kerusi yang dihajatinya di negeri ini untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, jika beberapa negeri telah mendedahkan secara terbuka perkara itu, Bersatu di Kelantan pula mengambil pendirian tutup mulut.

‘Polisi’ terkini itu juga kata beliau, telah disepakati oleh semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) negeri ini.

“Kita dan rakan-rakan bersetuju mengamalkan polisi tidak membincangkannya di khalayak ramai.

“Setakat ini, hal-hal berkenaan agihan kerusi bukan lagi boleh disebut untuk disiarkan di mana-mana media dan dada akhbar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, tindakan mendedahkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi Bersatu dikhuatiri dijadikan modal lawan untuk mencetus provokasi sekali gus menjejaskan keharmonian PN.

“Kalau kita sebut banyak ni, orang marah dan pertikai, kalau kita sebut sedikit ada orang pertikai juga. Jadi kita tutup mulut, elak bincang dan biarkan parti di peringkat pusat tentukan keputusan.

“Setakat ini perbincangan atau pertemuan di peringkat negeri belum berlaku terutama dengan UMNO yang tidak menyertai PN tapi kita akan bincangkan dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Bersatu Kelantan hanya akan bertanding di kerusi Parlimen sahaja, Kamaruddin sekadar berkata: “Parlimen ada, DUN pun ada.”

Untuk rekod Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen. Dalam PRU-14, Pas menang 37 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen manakala UMNO-BN lapan kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.

Bersatu, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, kini memiliki satu kerusi DUN iaitu Ayer Lanas dan dua kerusi Parlimen iaitu Jeli dan Tanah Merah, hasil penghijrahan dua wakil rakyat BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×