PERMATANG PAUH: Libasan ‘mautnya’ pernah membantu skuad sepak takraw kebangsaan meraih pingat perak dalam acara regu berpasukan ketika Sukan Asia di Jakarta-Palembang dua tahun lalu.
Bagaimanapun, kemalangan jalan raya yang menimpanya dan keluarga pada Februari tahun lepas mengubah kehidupan bekas perejam negara itu, Muhammad Kamal Ishak, 27.
Selain ditimpa kecederaan serius di bahagian pinggang dan tengkuk, isterinya, Nik Norzilawati Nik Wil, 25, yang ketika itu sedang mengandung tiga bulan juga cedera akibat kemalangan terbabit namun berada dalam keadaan stabil.
Muhammad Kamal berkata, ekoran kemalangan itu, dia terpaksa mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk mengembalikan keyakinan diri serta mula memfokuskan kepada aktiviti perniagaan bagi membantu menjana pendapatan keluarga selepas tidak lagi bergelar atlet negara.
“Saya jual macam-macam selain pernah menjadi ejen insurans sebelum memulakan perniagaan minuman sendiri di bawah jenama ‘Ayaq Petak’ baru-baru ini.
“Alhamdulillah, walaupun ‘Ayaq Petak’ masih baru di pasaran sudah terjual kira-kira 200 botol dalam masa kurang seminggu,” kata bekas tonggak skuad sepak takraw Penang Black Panthers itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani, Kubang Semang, di sini baru-baru ini.
Katanya, nama ‘Ayaq Petak’ itu timbul kerana pada mulanya dia berhasrat menghasilkan satu produk minuman yang unik iaitu dalam botol berbentuk petak selain mahu pelanggan tertanya-tanya mengenai minuman berkenaan sekali gus mahu mencubanya sendiri.
Muhammad Kamal berkata, ketika ini, Ayaq Petak yang dijual pada harga RM7 dalam botol bersaiz 500 mililiter (ml) itu boleh didapati dalam lima perisa iaitu Matcha Leleh atau teh hijau, Mata Kucing Juling (buah mata kucing), Koko Jumbo (coklat), Kopi Atok Kaww (kopi) dan Jagung Manis atau perisa jagung.
Katanya, bekalan air tersebut diperoleh daripada sebuah syarikat minuman yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 botol minuman pelbagai perisa dalam sehari sebelum dibungkus atau dipek semula di bawah jenamanya sendiri.
“Buat masa ini, perniagaan ini saya usahakan bersama isteri dan seorang adik. Kami memang berhasrat mendapatkan khidmat ejen sebaik sahaja jenama Ayaq Petak ini dikomersialkan sepenuhnya nanti,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, minuman tersebut mendapat permintaan yang baik di Kuala Lumpur dan Kelantan selain sekitar negeri ini.
Katanya, selain mengusahakan produk minuman Ayaq Petak, dia masih meneruskan perniagaan pencetakan baju termasuk jersi dan pelitup muka yang dimulakannya secara sambilan semasa menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Saya juga sedang menunggu tawaran untuk menjadi guru Pendidikan Jasmani selepas menghadiri satu temu duga baru-baru ini,” katanya yang berhasrat meneruskan perniagaan tersebut meskipun memiliki pekerjaan tetap kelak. – UTUSAN ONLINE









