Hafizh harap tuah Phillip Island - Utusan Malaysia

Hafizh harap tuah Phillip Island

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA baki perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) perlu dimanfaatkan dengan baik oleh Hafizh Syahrin Abdullah sekiranya berhasrat untuk muncul sebagai pelumba baharu terbaik bagi musim 2018.

Selepas kembali berada dalam kelompok 10 terbaik di Jepun pada Ahad lalu, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mahu membawa semangat tersebut menjelang saingan di Grand Prix Australia hujung minggu ini.

Meskipun mengakui Litar Phillip Island bukan trek terbaiknya, namun pelumba berusia 24 tahun itu tetap optimis mahu mengatasi seteru utamanya, Franco Morbidelli dalam perebutan carta pelumba baharu musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akan ke Phillip Island dengan semangat yang baik kerana kami baru sahaja memperoleh keputusan yang positif di Motegi, Jepun minggu lalu apabila berada di kedudukan ke-10 terbaik.

“Kami ketika ini berada dalam momentum yang cemerlang selain mempunyai sebuah jentera yang hebat. Bagaimanapun, Phillip Island bukanlah litar terbaik, namun saya akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang le­bih sempurna.

“Fokus saya ketika ini mahu berada di hadapan seteru utama (Franco Morbidelli) untuk merapatkan jurang kutipan mata. Dalam pada itu, saya juga berharap keadaan cuaca di sana lebih baik,” kata Hafizh dalam satu kenyataan semalam.

Selepas 16 pusingan musim ini, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu kini bersaing sengit dengan Morbidelli selepas hanya ketinggalan empat mata daripada pendahulu dari Itali itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini