Southgate puas aksi 'ayam muda' England - Utusan Malaysia

Southgate puas aksi ‘ayam muda’ England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEVILLE, Sepanyol – Jurulatih England, Gareth Southgate memuji aksi anak-anak buahnya selepas skuad The Three Lions itu mengejutkan Sepanyol 3-2 pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Seville, awal pagi tadi.

Dua gol daripada Raheem Sterling dan jaringan menarik Marcus Rashford berjaya meletakkan England 3-0 di depan sebelum skuad kendalian Luis Enrique itu bangkit dua gol pada lewat permainan.

Kejayaan ini amat mengejutkan peminat bola sepak dunia selepas pasukan ini secara puratanya membariskan ramai pemain muda sejak 1959.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia juga merupakan kemenangan pertama England ke atas pasukan elit dunia sejak menewaskan Jerman pada aksi persahabatan Mac 2016, sekali gus mengubah imej skuad The Three Lions sebagai antara gergasi baharu bola sepak dunia selepas menduduki tempat keempat dalam kempen Piala Dunia 2018.

“Sangat berbangga dengan persembahan pemain, mereka beraksi dengan keberanian dan semangat yang tinggi,” kata Southgate.

“Kami sedar bahawa jika datang ke sini dan bertahan selama 90 minit, kami tidak mungkin akan capai kemenangan.

Sterling meledakkan dua gol buat England.Sterling meledakkan dua gol buat England.

 

“Jadi kami perlu lebih berani memegang bola. Prestasi kami amat baik ketika Piala Dunia. Kami perlu tunjukkan yang kami masih boleh meningkatkan lagi prestasi kami. Banyak yang telah kami pelajari dengan dua persembahan yang baik minggu ini.

“Kami cuba sistem baharu, dapat mengetahui banyak perkara tentang pemain muda kami yang beraksi dengan cemerlang malam ini. Saya sangat puas hati,” jelasnya.

Sementara Sepanyol pula, ini merupakan aksi terburuk mereka pamerkan sejak tersingkir di kempen Piala Dunia meskipun mencatat dua kemenangan dalam Liga Negara-negara UEFA ke atas England di Wembley dan 6-0 ke atas finalis Croatia.

Southgate puas hati dengan aksi anak buahnya.Southgate puas hati dengan aksi anak buahnya.

 

Malah, bekas juara 2010 itu juga membelasah Wales 4-1 dalam aksi persahabatan Khamis lepas sebelum bertemu England awal pagi tadi.

Meskipun berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain gantian, Paco Alcacer dan kapten Sergio Ramos, ia masih gagal menghalang Enrique daripada mengkritik pemainnya.

“Babak pertama kami beraksi sangat teruk, ia harus diakui. Kami lambat memberi tekanan dan gol pertama telah membunuh semangat kami.

“Kami banyak melakukan kesalahan individu. Amat kesal untuk mengatakannya, tetapi kami memerlukan keajaiban untuk melakukannya.

Antara aksi panas antara pemain England dan Sepanyol awal pagi tadi.Antara aksi panas antara pemain England dan Sepanyol awal pagi tadi.

 

“Ketinggalan 0-3 bukan sesuatu yang mudah, England sebuah pasukan yang amat berbahaya. Dalam kumpulan ini kami berdepan dua pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia, ia bukannya mudah.

“Kini semuanya terpulang kepada kami. Kami perlu menang ke atas Croatia pada aksi terakhir untuk menjuarai kumpulan,” jelas Enrique.

Sepanyol akan berdepan Croatia di Zagreb pada 15 November depan manakala England pula akan bertemu naib juara Piala Dunia itu di Wembley tiga hari kemudian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini