KUALA LUMPUR 16 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penaung dan pengasas Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM) berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis makan malam tahunan yang diraikan oleh universiti di Residensi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi PALTUM.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden merangkap Naib Canselor La Trobe University, Prof John Dewar.
Hadir sama sebagai tuanrumah ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski AM dan isteri.
Dalam ucapan beliau, Prof Dewar memaklumkan bahawa sehingga hari ini universiti terkenal yang terletak di Melbourne tersebut telah melahirkan lebih 200,000 orang graduan yang datang dari seluruh dunia termasuklah lebih 5,000 orang dari Malaysia.
Menurut beliau lagi, La Trobe University pada ketika ini sedang berusaha untuk disenaraikan dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia melalui lapuran Times Higher Education World University Rankings (WUR). Terkini ia berada dalam kelompok 350 terbaik dunia.
Usaha juga untuk muncul sebagai ‘University with the most graduate employability in Australia’ dan mewujudkan ‘Malaysian Student Bursary’ (Tabung Kebajikan Untuk Pelajar dari Malaysia) yang memberi peluang kepada alumni Malaysia memberi bantuan kewangan kepada rakan para pelajar Malaysia yang memerlukan di La Trobe University.
Walaupun baharu sahaja dilancarkan, setakat sekarang kutipan yang diperolehi sudahpun mencecah AUD1600 manakala sasaran pula ialah AUD5,000.
Sementara itu, Goledzinowski dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa pendidikan merupakan salah satu sektor utama dan mustahak yang menghubungkan negara Malaysia dan Australia. – UTUSAN ONLINE











