Oktoberfest: Takiyuddin perjelas kekeliruan - Utusan Malaysia

Oktoberfest: Takiyuddin perjelas kekeliruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 16 Okt. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mahupun parti itu sendiri tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Oktoberfest, malah akan menentang habis-habisan jika pesta arak tersebut menimbulkan masalah dan mengancam ketenteraman awam.

Menurut Takiyuddin, ketika bercakap kepada pemberita di Parlimen semalam, beliau menyatakan dengan tegas apa sahaja majlis melibatkan arak tidak boleh dianjurkan sekiranya boleh menimbulkan keresahan, kacau ganggu, menyentuh sensitiviti dan menimbulkan kekacauan.

“Saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya yang disalahertikan mengenai penganjuran Oktoberfest.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ingin menyatakan kenyataan lisan saya kepada pihak media itu telah tidak disiarkan sepenuhnya dan dipetik di luar dari konteks sebenar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan Takiyuddin ketika ditemui di lobi Parlimen semalam bersetuju dengan kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad bahawa penganjuran Oktoberfest boleh dibenarkan dengan syarat.

Menurut laporan tersebut, Takiyuddin berkata, kenyataan Khalid adalah langkah yang perlu dibuat oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, semasa menjawab soalan wartawan, beliau turut mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah mengharamkan arak untuk dijual dan diminum oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Malah katanya, pihak berkuasa tempatanm (PBT) mengeluarkan secara terkawal permit dan lesen perniagaan kepada peniaga bukan Islam dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Masyarakat bukan Islam juga boleh mengadakan majlis yang menghidangkan arak dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan terutama tidak melibatkan langsung orang Islam.

“Secara umum saya juga mengatakan sekiranya majlis atau pesta yang melibatkan arak mematuhi syarat-syarat seperti yang diperkenalkan dan ditetapkan oleh PBT di Kelantan ia dianggap memenuhi peraturan tersebut dan boleh dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini