Turkiye dekat di hati Ismail Sabri

Turkiye dekat di hati Ismail Sabri

RECEP Tayyip Erdogan (kiri) dan Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya kerjasama Malaysia-Turkiye ditingkatkan ke perkongsian strategik komprehensif tahap tertinggi dalam hubungan dua hala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 5 hingga 8 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan. Lawatan rasmi ini cukup dekat dengan hati Perdana Menteri kerana Turkiye adalah negara Islam yang progresif, rakan perdagangan akrab dan istimewa bagi Malaysia. Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah RM16.97 bilion pada 2021.

Pada 2014, semasa lawatan Erdoğan ke Kuala Lumpur, Malaysia dan Turkiye melancarkan Kerangka Kerjasama Strategik. Dalam lawatan rasmi pada kali ini, Erdogan dan Ismail Sabri bersetuju supaya kerjasama Malaysia-Turkiye ditingkatkan ke perkongsian strategik komprehensif tahap tertinggi dalam hubungan dua hala. Skop kerjasama kini berkembang meliputi pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan makanan, pelancongan, perbankan Islam dan industri pertahanan.

Sejurus tiba di Turkiye, Perdana Menteri melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) yang menjadi simbol hubungan perdagangan antara Malaysia-Turkiye. ISGIA dimiliki dan diuruskan oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sejak 2008 yang melabur kira-kira 500 juta euro dalam projek ini.

Perdana Menteri menghadiri perjumpaan dengan sembilan kumpulan terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat terkemuka Turkiye bagi tujuan perundingan pelaburan dan menerokai usaha sama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang. Antaranya Boustead Holdings Berhad (Boustead) dan Ordu Yardımlaşma Kurumu (OYAK) bagi menerokai peluang perdagangan komoditi dua hala dengan fokus kepada produk berasaskan gandum dalam usaha kerajaan memastikan sekuriti bekalan makanan kepada Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri disambut penuh gah dan mesra oleh Erdogan semasa Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden, Ankara. Ini memperlihatkan keakraban hubungan kedua-dua pemimpin dunia Islam tersebut. Dalam pertemuan empat mata dengan Erdogan, Ankara, Ismail Sabri bertukar pandangan bagi mengukuhkan hubungan Malaysia-Turkiye di samping berbincang mengenai kerjasama ekonomi, isu-isu serantau dan antarabangsa. Perbincangan juga tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang pertahanan terutama persenjataan agar syarikat Turkiye melabur di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai hab wilayah bagi pasarannya di ASEAN.

Ini sejajar dengan lawatan Perdana Menteri ke Makine ve Kimya Corporation dan Turkish Aerospace Industries di mana Ismail Sabri menyatakan harapan Malaysia untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan menerusi teknologi terkini serta meneroka peluang kerjasama dalam industri pertahanan dengan syarikat-syarikat Turkiye.

Dalam mengimbangi perdagangan dua hala, Erdogan dan Ismail Sabri turut menyentuh potensi Malaysia, bukan sahaja sebagai rakan dagang utama, bahkan pintu masuk dan hab perdagangan ASEAN. Kedua-dua negara kini berada dalam pusingan akhir perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) meliputi bidang-bidang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

Erdogan dan Ismail Sabri juga bersetuju supaya Malaysia dan Turkiye menubuhkan perbankan digital Islam bagi meneroka potensi besar Turkiye dalam sektor ini. Persetujuan ini membawa kepada pemeteraian dokumen persefahaman antara Boustead dan Great East Capital Bigli Teknologi Yatirimlari (GEC).

MINYAK SAWIT

Erdogan dan Ismail Sabri juga berbincang mengenai potensi untuk Turkiye meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Turkiye merupakan hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasaran benua Eropah dan Asia Tengah.

Erdogan dan Ismail Sabri juga bersetuju isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19 malah semakin kritikal ekoran konflik di Ukraine. Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil.

Antara langkah segera adalah meningkatkan perdagangan produk makanan dan menjalinkan kerjasama meliputi perkongsian maklumat dan pengalaman. Malaysia dan Turkiye akan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor makanan.

Beberapa memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam bidang sains, pertahanan, teknologi serta akademik ditandatangani semasa lawatan rasmi ini. Tiga MoU kerajaan ke kerajaan (G2G) melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kesihatan Turkiye; Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan Direktorat Komunikasi Turkiye; dan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dengan Institusi Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye (Tubitak) ditandatangani. Selain itu, terdapat empat MoU perniagaan ke perniagaan (B2B) ditandatangani pada hari tersebut.

Pendidikan juga menjadi salah satu agenda utama kerajaan semasa lawatan ke Turkiye. Peningkatan tahap kerjasama pendidikan ini jelas terzahir apabila Perdana Menteri mengumumkan pengiktirafan ijazah daripada 208 universiti di Türkiye. Erdogan pula menyatakan komitmen untuk menambah lagi tajaan atau biasiswa kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Turkiye.

Ismail Sabri juga menyambut baik tawaran Erdogan untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin Covid-19, Turkovac buatan Turkiye. Beliau akan meminta KKM meneliti tawaran ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang dilancarkan pada tahun lalu. Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) pula menandatangani MoU dengan Aktuel Expo Healthcare International Fair Company.

Sesungguhnya lawatan rasmi ke Turkiye telah membuka ruang kepada negara untuk meneroka lebih mendalam aspek penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai bidang kerjasama yang akan memberi manfaat besar kepada Malaysia menuju ke arah negara maju. – UTUSAN

ABDUL Munir Lutfi Said ialah Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×