Jaga perasaan rakyat agar tidak bosan dengan politik

Jaga perasaan rakyat agar tidak bosan dengan politik

ADA kala rakyat serba salah sama ada mahu memilih calon atau parti untuk diundi dalam pilihan raya. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA milik rakyat dan pemimpin. Masing-masing ada tanggungjawab membina negara bangsa yang stabil, aman, makmur. Justeru, tiada istilah rakyat hanya boleh meletakkan urusan politik dan tadbir urus negara semata-mata ke atas mereka yang bergelar pemimpin. Sementara pemimpin perlu berada pada landasan, ada keyakinan di hati rakyat.

Dalam konteks pilihan raya umum, rakyat berhak memilih pemimpin dari parti-parti politik tertentu. Selalunya pilihan mereka berdasarkan calon dan parti. Cuma, ada kala mereka bertembung dengan keadaan serba salah iaitu sama ada mahu memilih calon atau parti. Keadaan di mana ada yang mengungkap, “Aku memang sayang parti, tetapi aku tak sukakan calon.”

Ada logiknya juga bagi rakyat menolak mana-mana calon yang mereka anggap tidak sesuai. Mungkin disebabkan sudah beberapa kali tewas dalam pilihan raya. Malah, rakyat barangkali ada lagi alasan-alasan lain yang lebih kukuh untuk mereka menolak. Mungkin atas sebab-sebab keperibadian, sikap individu kurang mesra masyarakat atau ada kaitan dengan suasana keluarga yang tidak membantu memberi imej baik.

Pun begitu, ada kala rakyat sukakan calon tetapi tidak sukakan parti. Calon mungkin seorang berpendidikan agama tinggi, memiliki nilai keperibadian yang menepati dengan cita rasa masyarakat, namun sandaran parti diwakilinya kurang kuat, membuatkan rakyat ragu dan sangsi untuk dijadikan pilihan.

Bagi mengelak keadaan demikian berlaku, awal-awal lagi rakyat boleh menyuarakan pandangan, maklum balas atau cadangan bagi menentukan calon-calon yang bakal bertanding nanti menepati minat dan kehendak masyarakat setempat. Intai-intailah atau tidak salah memasang mata telinga untuk mengetahui calon-calon yang bakal ditawarkan bertanding terutama dari parti yang menjadi pilihan. Membiarkan sahaja sehingga muncul nama di saat-saat akhir, mungkin segalanya sudah terlewat untuk ditentukan pilihan.

Rakyat berhak bersuara. Demi kebaikan semasa dan kepentingan masa depan, rakyat perlu bersuara dengan tegas dan jelas. Terpulang kepada parti membuat pilihan. Bagi parti-parti politik yang bersedia mengambil kira denyut nadi rakyat, mereka tentu akan menimbang secara jujur apa yang rakyat suarakan. Lagipun, bukankah cagaran utama untuk menang adalah atas sokongan majoriti rakyat?

Jangan buat rakyat keliru dan sukar memilih. Terdapat cabaran besar yang terpaksa dipikul dan diuruskan dengan sebaik-baiknya oleh parti-parti tertentu. Mereka sama ada sekadar mahu memberi laluan kepada sahabat terdekat untuk menjadi calon atau memilih calon mengikut selera sebenar masyarakat.

Memilih calon perlu bijak dan tepat. Biasanya masyarakat membuat pilihan dengan melihat secara jelas tentang latar belakang keupayaan, kewibawaan seseorang. Jadi, elak meletak calon yang hanya sengaja mahu menjaga hati sesiapa sehingga jangkaan menang atau kalah sudah dapat dipasti sebelum bertanding.

ANAK CUCU

Legakan perasaan rakyat supaya tidak bosan dengan politik. Jadikan politik itu sentiasa hidup pada kaca mata masyarakat atas semangat mahu menentukan survival dan kedaulatan bangsa dan tanah air tetap terbela dan terjamin. Orang politik berperanan memberi isyarat positif kepada masyarakat bahawa berpolitik bukan untuk mengejar agenda kepentingan mana-mana individu, keluarga atau puak.

Malang kalau politik itu dibiarkan menjadi suatu subjek atau jenama bersifat negatif di mata rakyat. Terjemahkan politik sebagai gerakan siasah membina perpaduan dan kemajuan untuk dinikmati semua.

Parti yang berkredibiliti tinggi mampu menggerakkan anggota masyarakat berkempen secara spontan atau sukarela. Berkempen tanpa didorong atau dipaksa. Situasi ini sering disebut, kalau sudah belago angin, gerakan kempen akan berjalan dengan sendiri.

Pada masa sama, silap jika rakyat mengetepikan politik. Perlu diingat, politik berkait rapat dengan kuasa. Melalui kuasa, sebarang bentuk dasar dan perancangan boleh dilakukan. Yang ada mungkin boleh ditiadakan, dan yang meresahkan bangsa mungkin mendatangi kehidupan. Jangan ada kesal atas sebarang kesilapan.

Daripada kuasa dapat pembangunan, kebajikan dan kemajuan. Hidup bukan sekadar memenuhi keperluan generasi yang ada, tetapi untuk kelangsungan kehidupan generasi silih mendatang. Perlu ada jawapan tentang bekalan pendidikan dan jaminan kesejahteraan kepada anak cucu secara berterusan.

Khabarnya, ada sesetengah tempat masyarakatnya tidak lagi berminat dengan politik. Ekoran itu, ramai yang tawar hati untuk bertanding dalam pilihan raya. Payah untuk diramalkan kadar sokongan dan undian. Dikatakan kononnya rakyat tempatan sudah tidak hiraukan lagi soal politik. Semoga suasana begitu tidak lebar berkembang.

Sebalikya di luar negara, rakyatnya semakin mengambil berat tentang politik. Mereka mahu politik yang stabil untuk memulih keadaan atau mengekalkan kemakmuran. Rakyat bangkit dan proaktif mencorak sendiri politik negara. Rakyatnya membuktikan pendirian tegas dalam memilih parti dan peneraju negara.

Anak-anak muda juga di kebanyakan negara mengambil kisah tentang ehwal politik. Gambaran bahawa mereka turut memberi perhatian tentang nasib masa depan, tentang kestabilan, juga kaitan dengan isu kedaulatan dan kekuatan negara, bukan sahaja aspek politik tetapi termasuk bidang ekonomi dan ketenteraman awam.

Benar kata seorang sahabat, “Limau yang diperah mana mungkin mengeluarkan jus berperisa jagung.” Ertinya, sebarang hasil yang terkesan selalunya bertitik-tolak daripada tangan-tangan yang membuat pilihan atau tindakan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×