ISTANBUL – Seramai 22 orang termasuk kanak-kanak terbunuh semalam apabila sebuah kenderaan membawa imigran yang ingin menuju ke Greece terhumban dari lebuh raya ke dalam sebuah terusan di barat Turki, lapor media tempatan.
Kenderaan itu yang dipercayai sebuah lori, sedang dalam perjalanan di lebuh raya dekat dengan sebuah lapangan terbang di wilayah Izmir apabila ia terbabas dan jatuh pada ketinggian beberapa meter ke dalam terusan itu, demikian menurut agensi berita Anadolu.
Kewarganegaraan imigran-imigran itu masih belum dapat dipastikan. Seramai 22 orang terbunuh, kata Anadolu, meningkat daripada jumlah kematian awal seramai 15 orang, manakala 11 yang lain cedera.
Stesen televisyen Turki memaparkan gambar bangkai kenderaan itu yang remuk akibat impak kemalangan dahsyat itu.
Agensi berita DHA melaporkan, lori itu sedang menuju ke kawasan pantai di Izmir di mana kumpulan imigran tersebut merancang untuk menaiki bot ke pulau Samos di Greece pada jarak beberapa kilometer dari Turki.
Turki merupakan pusat transit utama pendatang tanpa izin dari negara-negara bergolak di Asia Barat, Asia dan Afrika yang mahu mencari kehidupan baru di Eropah. – AFP











