DUNGUN 14 Okt. – Seorang pegawai Kastam yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dn terjunam ke dalam gaung di kilometer 88.5, Jalan Kuantan – Kuala Terengganu di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi berhampiran Bukit Bauk, Roslaili@Rosli Yusuf, 42 yang bertugas Kuala Terengganu, maut di lokasi kejadian setelah cedera parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi memberitahu, kereta yang dipandu mangsa dikatakan terbabas ketika melalui satu selekoh menyebabkan keretanya terbalik dan terjunam ke dalam gaung.
“Mangsa yang berasal dari Binjai Kemaman dikatakan tercampak keluar sebelum dihimpit keretanya, dan kejadian tersebut hanya di sedari oleh pengguna jalan raya tidak lama kemudian disebabkan kedudukan kereta yang agak terselindung,” katanya ketik dihubungi.
Tambah Baharudin, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bersama kekuatan sebuah jentera berjaya mengeluarkan mayat mangsa dalam keadaan agak sukar.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Baharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.-UTUSAN ONLNINE











