SEKITAR tiga tahun lalu, penduduk di Amerika Syarikat pernah digemparkan dengan penularan virus pembawa maut ebola di negara berkenaan.
Situasi menjadi bertambah kecoh apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai Thomas Eric Duncan meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut pada usia 42 tahun.
Duncan yang pada mulanya hanya didiagnosis dengan penyakit cirit-birit biasa, mati di Hospital Presbyterian, Dallas, Amerika Syarikat pada 8 Oktober 2014 selepas disahkan positif ebola.
Biarpun Duncan merupakan warga Liberia yang hanya datang ke negara tersebut untuk tujuan peribadi, namun dia merupakan pesakit dan individu pertama yang mati angkara ebola di Amerika Syarikat.
Ekoran peristiwa itu, Amerika Syarikat telah melakukan prosedur penapisan yang ketat bagi semua penumpang di lapangan terbang selain mengeluarkan satu garis panduan yang baharu untuk diguna pakai oleh kaki tangan hospital.
Lawat tunang
Tidak cukup dengan itu, pegawai kesihatan di Dallas mula mengesan individu-individu yang pernah berurusan dengan Duncan sebelum dia mati.
Tindakan tersebut dilakukan selepas dua orang jururawat yang merawat Duncan disahkan positif ebola kira-kira tiga hari selepas kematiannya.
Susulan daripada jangkitan virus itu juga, kedua-dua wanita itu ditempatkan dalam unit pengasingan di pusat perubatan berasingan dan dirawat menggunakan sejenis ubat yang masih pada peringkat kajian.
Isnin lalu, genap empat tahun pemergian Duncan yang bekerja sebagai pembantu peribadi itu.
Biarpun peristiwa tersebut telah lama berlalu, namun situasi tegang dan tidak puas hati terutamanya dalam kalangan waris-waris mendiang masih lagi wujud sehingga ke hari ini.
Menurut Taupee Garsinii, abangnya itu mungkin boleh dirawat dan sembuh jika virus tersebut dikesan dari awal.
“Kami dimaklumkan oleh Duncan bahawa dia akan terbang ke Dallas untuk melawat tunangnya pada 19 September 2014.
“Bagaimanapun, lima hari selepas selamat tiba di Dallas, dia mengadu mengalami sakit perut dan pening-pening. Duncan kemudian pergi ke bilik kecemasan di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
“Saya dimaklumkan Duncan ada memberitahu bahawa dia merupakan pelancong dari Afrika. Bagaimanapun, mereka tidak membuat pemeriksaan lanjut dan hanya memberikan ubat antibiotik sebelum dibenarkan pulang,” jelasnya.
Pada 28 September 2014, tahap kesihatan Duncan semakin merosot. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulan.
Dua hari kemudian, pusat kawalan dan pencegahan penyakit mengumumkan Duncan merupakan individu pertama di Amerika Syarikat yang didiagnosis dengan ebola.
Penting diri
Jelas Garsinii lagi, virus yang menyerang abangnya itu dipercayai dijangkiti daripada tuan rumahnya sebelum dia terbang ke Dallas.
“Saya pernah diberitahu oleh abang bahawa dia telah membantu tuan rumahnya, Mathalene Williams yang pada waktu itu sedang sarat hamil ke hospital kerana positif ebola.
“Disebabkan tiada ambulan yang dapat membawa Williams ke hospital, Duncan membantunya dengan menaiki sebuah teksi.
“Saya tidak menyangka virus tersebut merebak ke Duncan kerana dia kelihatan sihat seperti biasa dan selamat tiba ke Dallas,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf melahirkan rasa kesal dan marah atas tindakan yang dilakukan oleh pemandu peribadi itu.
“Duncan telah menipu sejarah hubungan dengan individu yang dijangkiti virus tersebut dalam borang kajian soal selidik yang disediakan di lapangan terbang.
“Tindakannya menyebabkan rakyat Amerika Syarikat berada dalam keadaan panik dan seterusnya merisikokan beberapa nyawa yang lain.
“Dia mungkin sedar dia merupakan pembawa virus tersebut tetapi keputusannya untuk terus terbang ke Amerika Syarikat adalah satu tindakan yang sangat mementingkan diri.
“Dia telah memberi imej negatif pada Liberia dengan membawa masuk virus ke Amerika Syarikat,” jelasnya.











