ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul menolak khabar angin yang mendakwa beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.
Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, khabar angin mengenai beliau yang akan dilantik sebagai Menteri Besar telah menjadi tular sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi.
Malah menurutnya, beliau sebelum ini juga pernah disebut-sebut bakal dilantik menjadi Menteri Pertahanan, Menteri Pelancongan dan Speaker Dewan Rakyat.
“Sekarang ini, macam-macam khabar angin mengenai kedudukan saya termasuk dilantik sebagai Menteri Besar.
“Saya tak kecewa sekiranya saya tidak dilantik sebagai Menteri Besar sebab saya sudah menjadi pemimpin selama 20 tahun dalam reformasi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.











