Hukuman 623 pertuduhan ejen unit amanah rogol, liwat anak dipinda - Utusan Malaysia

Hukuman 623 pertuduhan ejen unit amanah rogol, liwat anak dipinda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Okt. – “Hanya kamu yang tahu apa berlaku, apa kecederaan yang berlaku pada anak kamu. Haiwan pun takkan lakukan perbuatan ini. Bertaubatlah tapi kalau kamu rasa kamu tak buat, bergantunglah pada kamu. Ini antara kamu dan tuhan, hukuman hanyalah apa yang terkandung dalam undang-undang.”

Itu ‘nasihat’ Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Abdullah hari ini sebelum meminda hukuman penjara 48 tahun kepada 40 tahun terhadap seorang ejen unit amanah yang mengaku bersalah atas 623 tuduhan merogol, meliwat, melakukan sentuhan seksual secara fizikal dan penganiayaan seks ke atas anak kandungnya selepas membenarkan rayuannya.

Pada prosiding hari ini, mahkamah meminda hukuman rogol daripada 28 tahun kepada 24 tahun, liwat (20 tahun kepada 16 tahun), sentuhan seksual secara fizikal (20 tahun kepada 10 tahun) dan penganiayaan seks (15 tahun kepada 10 tahun).

Memuatkan artikel berkaitan…

Hukuman bagi kesalahan liwat, sentuhan seksual secara fizikal dan penganiayaan seks diperintahkan berjalan secara serentak tetapi berasingan daripada hukuman rogol.

Hukuman sebat 24 kali, perintah pengawasan selama tiga tahun, perlu menjalani kaunseling selama 10 tahun dan melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dikekalkan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin.

Perintah agar lelaki yang diwakili peguam-peguam bela, Cyrus Tiu Foo Woei dan N. Rajesh membayar pampasan kepada anak gadisnya itu sebanyak RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya juga dikekalkan.

“Berhubung pengakuan salah yang didakwa dilakukan tanpa kehadiran peguam bela dan tidak mengetahui sebab serta akibat, mahkamah dapati pertuduhan yang dibacakan boleh difahami. Tidak menjadi kesalahan mengaku bersalah tanpa kehadiran peguam sebab pertuduhan tidak membabitkan hukuman mati,” kata Hakim Azman.

Lelaki berusia 37 tahun itu memfailkan rayuan memohon agar kes dihantar semula ke mahkamah terdahulu agar kes itu boleh dibicarakan atau diringankan hukumannya.

Dia sebelum ini didakwa meliwat anak kandungnya setiap hari sepanjang bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun (termasuk ketika sambutan hari raya pada 25 Jun 2017) kecuali dua hari sebelum bulan Ramadan (25 dan 26 Mei tahun sama) dan pada hari pertama menunaikan ibadah puasa (27 Mei) sehingga 20 Julai 2017.

Tuduhan penganiayaan seks didakwa dilakukan di antara 1 Ja­nuari dan 21 Julai 2017 di tempat yang sama manakala kesalahan rogol pula didakwa dilakukan pada pukul 2 petang, 21 Julai tahun sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah sewanya di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini di antara Januari dan Julai 2017.

Menurut fakta kes, mangsa dijadikan pemuas nafsu seks songsang bapanya apabila dia diliwat sebanyak tiga kali sehari, di antara pukul 6 hingga 7 pagi, 1 hingga 2 petang dan 11 malam hingga 1 pagi dengan rakus sehingga terkeluar najis serta dikawal pergaulan dan pergerakannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini