KOTA BHARU 12 Okt. – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak mengganggap ucapan beliau berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di kem tentera di Port Dickson baru-baru ini memberi persaingan yang berat sebelah kepada pihak lawan.
Beliau bagaimanapun menghormati teguran beberapa pihak seperti Bersih 2.0 yang menasihatkan menteri supaya tidak terlibat dalam kempen kepada Anwar bagi memastikan persaingan lebih adil dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
“Bersih berhak mengkritik. Pendekatan kerajaan baharu ialah badan-badan bebas mengkritik dan kita sedia dengar kritikan mereka.
“Walau bagaimanapun bagi saya, itu (ucapan di kem tentera) adalah ucapan biasa sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Veteran Tentera, di sini hari ini.
Majlis tersebut melibatkan 200 penerima terdiri daripada Persatuan Veteran ATM Kelantan, Kelab Veteran Semboyan Kelantan, Kelab Veteran 302 Saem Kelantan, Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) serta lapan balu veteran.
Ketika berucap dalam majlis di kem tentera di Port Dickson baru-baru ini, Mohamad berkata beliau percaya Anwar yang merupakan calon PH bagi PRK Port Dickson mampu menyelesaikan semua perkara berkaitan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Susulan itu, Pengarah Eksekutif Bersih, Yap Swee Seng menyifatkan kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat oleh seorang menteri kerana memberikan kelebihan kepada Anwar, sekali gus menjadikan padang permainan yang tidak adil kepada pihak lawan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ucapan beliau tersebut merujuk kepada kemungkinan yang berlaku jika Anwar menang dan beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri.
“Kalau calon kita menang dan beliau bakal jadi Perdana Menteri, sudah tentulah dia ada ikhtiar tertentu untuk membantu, sekurang-kurangnya di kawasan Parlimen Port Dickson kalau tidak di seluruh negara sekali pun,” katanya. – UTUSAN ONLINE











