KUALA LUMPUR 12 Okt. – Setelah hampir dua tahun menjalani hidup di sebalik tirai besi, seorang bekas penyambut tetamu hotel lima bintang akhirnya mampu tersenyum lega selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan merogol seorang wanita warga Australia, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Roaquin Radzmund Muhamed Reduan Francis, 29, bagi mengetepikan hukuman penjara 13 tahun dan sebatan dua kali yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 7 November 2016.
Hakim Rozana dalam keputusannya berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah gagal mengambil kira pembelaan perayu yang mempunyai asas dan perlu dipertimbangkan serta diperhalusi.
“Hakim Mahkamah Sesyen gagal untuk menilai keseluruhan bukti identiti perayu dan keberadaannya di bilik mangsa apatah lagi mangsa gagal mengecam pelaku yang merogolnya ketika kawad cam dan hanya membuat pengecaman ketika di kandang tertuduh selepas sekian lama kes disebut.
“Secara keseluruhannya, mahkamah ini mendapati hakim Mahkamah Sesyen telah dengan jelas tersalah arah dalam menolak pembelaan perayu atas dasar penafian, sehubungan itu, sabitan yang dijatuhkan terhadap perayu tidak selamat,” katanya.
Sebaik sahaja hakim selesai membacakan keputusannya, ahli keluarga perayu yang berada di galeri awam menangis kegembiraan sambil berpelukan antara satu sama lain.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pengurus sebuah restoran makanan segera yang berusia 31 tahun di dalam bilik di sebuah hotel lima bintang di sini kira-kira pukul 5 pagi, 19 Oktober 2014.
Roaquin Radzmund yang diwakili peguam A.G. Kalidas, didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pada 2 Disember 2015, Roaquin Radzmund dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan, namun pada 22 September 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan sama. – UTUSAN ONLINE











