SHAH ALAM – Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah tidak bersetuju dengan tuntutan ahli gabungan FAS supaya diadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan presiden.
Raja Muda Selangor bertitah, baginda terkejut apabila dimaklumkan terdapat memorandum berkenaan tuntutan itu pada 1 Oktober lepas.
“Beta tidak memahami mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baharu sahaja dimulakan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan (untuk adakan EGM) amat lemah.
“Kita dapat lihat perubahan yang kita sedang rancak lakukan termasuk menutup peluang melakukan ketirisan serta merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan menyoal perkara-perkara yang terdapat kesangsian telah membuat beberapa orang merasa tidak selesa. Kita hendak maju gerak ke hadapan, tetapi mereka seringkali menarik kita ke belakang semula.
“Akan tetapi beta tidak menyalahkan ahli gabungan kerana beta percaya mereka telah dimanipulasi, ditipu malah diugut oleh beberapa individu untuk menandatangani memorandum tersebut. Individu-individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya hendak bekerjasama demi kemajuan FAS,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama











