Buat tuduhan palsu disebat - Utusan Malaysia

Buat tuduhan palsu disebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SELAIN daripada cadangan mengenakan hukuman sebat terhadap pesalah yang melakukan kesalahan rasuah, pihak kerajaan disaran mengenakan hukuman yang sama terhadap mana-mana pihak yang melakukan tuduhan palsu mengenai kesalahan rasuah.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta supaya kerajaan membuat pertimbangan dan kajian terhadap cadangan suruhanjaya itu untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah yang disabitkan kesalahan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, cadangan hukuman sebat itu secara langsung mencerminkan usaha serius pihaknya untuk membanteras rasuah secara habis-habisan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cadangan mengenakan hukuman sebat tidak seharusnya hanya meliputi mereka yang telah terbukti melakukan kesalahan rasuah, malah ia juga harus melibatkan mereka yang membuat tuduhan palsu.

Jenayah rasuah adalah jenayah berat dan serius bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia.

Masyarakat dunia memandang jijik terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan jenayah rasuah.

Oleh itu, setiap pertuduhan rasuah yang dibuat atau dilaporkan perlu disertakan dengan bukti atau fakta.

Sekiranya pertuduhan palsu dibuat terhadap mana-mana pihak, ia bukan sahaja menjejaskan imej atau reputasi orang kena tuduh.

Ia turut mengaibkan kehidupan orang berkenaan serta seluruh ahli keluarganya.

Tuduhan rasuah palsu yang dibuat juga boleh menyebabkan orang awam memandang serong terhadap orang kena tuduh.

Sekiranya tiada hukuman berat dikenakan terhadap mereka yang membuat tuduhan palsu, nescaya ia akan memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus melakukan pertuduhan palsu secara sewenang-wenangnya.

Keadaan ini boleh menyebabkan negara kita berada dalam keadaan kucar-kacir dengan wujudnya pelbagai tuduhan palsu. Sekiranya isu pertuduhan palsu tidak dibendung ia akan menjejaskan imej SPRM.

TUKANG SEBAT
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini