JAGUH lumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang mendapat suntikan motivasi menjelang Kejuaraan Trek Piala Dunia di Perancis Jumaat depan apabila menggondol pingat emas bagi acara keirin pada Kejohanan Trek Piala Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Lebih manis, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima pada saingan final.
Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu mengakui cuti yang diambil selepas berakhirnya temasya Sukan Asia 2018 masih tidak menjejaskan prestasinya secara keseluruhan sambil berharap ia mampu dipertingkatkan menerusi latihan sebelum terbang ke Perancis.
Menurut Azizulhasni, fokusnya pada aksi tersebut hanya untuk memanaskan badan selain mengutip mata ke saingan Piala Dunia serta Kejuaraan Dunia tanpa memikirkan dendam terhadap kekalahan kepada Jai pada Sukan Asia di Indonesia Ogos lalu.
“Saya tidak ada fokus untuk menebus kekalahan kepada Jai pada Sukan Asia baru-baru ini. Saya hanya memandang ke hadapan kerana dalam setiap perlumbaan, kita mungkin melakukan kesilapan yang mencetuskan kekalahan.
“Pada Sukan Asia, kita ambil pengajaran dengan perkara yang berlaku bagi memastikan kita betul-betul bersedia ke Olimpik Tokyo, Jepun 2020,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Nilai semalam.
Pada aksi tersebut, kedudukan kedua diraih pelumba Indonesia, Admadi Puguh, manakala pelumba Taiwan, Hsiao Shih Hsin merangkul gangsa.
Kelmarin, Azizulhasni turut merangkul pingat emas dalam acara pecut individu lelaki.
Mengulas lanjut, juara dunia keirin 2017 itu berkata, selain memanaskan badan, misinya di Nilai adalah untuk membantu rakan sepasukan memungut mata bagi kelayakan ke Piala Dunia dan Kejuaraan Dunia.
“Pada perlumbaan hari ini (semalam), saya hanya berharap dapat membantu rakan sepasukan untuk mengumpul mata ke Piala Dunia dan Kejuaraan Dunia, tetapi hanya saya seorang dapat menamatkan aksi di kedudukan podium. Mungkin ada sedikit himpitan di belakang yang membuatkan mereka tewas,” katanya.











