BIDOR – Seorang wanita cedera selepas tong gas di dapur rumahnya meletup secara tiba-tiba ketika mahu menyediakan sarapan dalam kejadian di Kuarters Klinik Kesihatan Sungkai di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5 pagi itu, mangsa yang dipercayai seorang jururawat berusia 43 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan kaki.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Shahrin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.26 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di tempat kejadian, anggota bertindak memakai peralatan lengkap bersama alat bantuan pernafasan untuk memasuki premis tersebut bagi tujuan menyelamatkan mangsa.
“Mangsa dipercayai tercampak kira-kira satu meter akibat letupan tong gas tersebut selain cermin tingkap pecah dan beberapa peralatan memasak lain serta bahagian siling dapur turut rosak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Shahrin, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
“Anggota turut mengeluarkan tong gas tersebut bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui punca letupan,” katanya. – K! ONLINE











