MELAKA 10 Okt. – Ketua Menteri, Adly Zahari hari ini menyatakan permohonan maaf bagi pihak kerajaan negeri atas ketelanjuran seorang wakil rakyatnya yang tular dalam laman sosial kerana bertengkar dengan penduduk kampung berhubung isu penutupan jalan di Taman Akasia di sini, semalam.
Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri turut mengakui perkara itu berlaku disebabkan kurangnya pengalaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.
Menurutnya, niat wakil rakyat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri itu adalah untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk taman dan kampung berhampiran namun kaedah komunikasinya tidak sesuai.
“Justeru, kerajaan negeri mohon maaf. Mungkin ada kekurangan yang menyebabkan perkara seperti itu boleh berlaku.
“Kerajaan negeri melalui perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga sudah sarankan penambahbaikan kepada beliau terutama dalam aspek komunikasi pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan membuka semula perbincangan antara penduduk taman, orang kampung dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung permasalahan jalan raya di Taman Akasia,
“Isu tersebut seharusnya diselesaikan di peringkat PBT dan tidak perlu melibatkan Exco mahupun ADUN kerana ini adalah isu membabitkan penduduk taman dan orang kampung,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (Melcat) dalam masa terdekat yang dilihat berupaya meningkatkan kompetensi dalam kalangan ahli Exco kerajaan negeri, wakil rakyat serta penjawat awam di negeri ini.











