JOHOR BAHRU 10 Okt. – Pembangunan tapak untuk sektor komponen aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di kawasan perindustrian Senai Airport City (SAC) akan dinilai semula sekiranya aktiviti logistik dan makanan mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelabur.
Pengurus Besar Senai Airport City Sdn. Bhd., Gan Seng Keong (gambar) berkata, tapak sektor berkenaan ada diperuntukkan dalam pelan induk SAC dan akan dibangunkan pada fasa ketiga, namun sehingga kini belum mendapat sambutan.
Menurut beliau, syarikat komponen aeroangkasa dan MRO kebanyakannya berpusat di Lembah Klang dengan lokasi tumpuan sekitar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
“Sementara di Johor pula masih terdapat kapasiti untuk syarikat-syarikat ini beroperasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Pasaran industri ini di Malaysia tidak terlalu besar tetapi daripada aspek rantaian nilai seperti pembuatan komponen ia memiliki potensi yang besar.
“Penilaian akan dibuat berdasarkan permintaan pasaran. Setakat ini tiada syarikat aeroangkasa dan MRO yang akan beroperasi di SAC,” katanya dalam sesi taklimat media pembangunan SAC di sini hari ini.











