ATHENS 10 Okt. – Greece mengharamkan pelancong gemuk daripada menunggang keldai di negara ini selepas kumpulan hak asasi haiwan mendakwa mamalia itu mengalami kecederaan tulang belakang dan luka terbuka akibat membawa beban berlebihan.
Mail Online melaporkan, selepas gambar keldai menaiki kawasan sempit di pusat tumpuan pelancong di Pulau Santorini mendapat liputan seluruh dunia, ahli Parlimen Greece kini berikrar untuk membantu haiwan itu.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Makanan Greece membuat peraturan baharu berkaitan kebajikan keldai selepas menerima banyak aduan tentang perkara itu susulan liputan media, Julai lalu.
Peraturan itu menetapkan keldai yang membawa pelancong di Santorini tidak boleh membawa beban melebihi 100 kilogram atau satu perlima daripada berat haiwan itu.
Langkah itu dibuat selepas aktivis haiwan di pulau itu mendakwa dengan masalah kegemukan meningkat, keldai terpaksa membawa beban berlebihan semasa bekerja tujuh hari seminggu tanpa perlindungan, rehat dan air mengakibatkan binatang terbabit mengalami cedera tulang belakang dan luka terbuka.
Buletin kerajaan menyatakan, pemilik keldai perlu memastikan tahap kesihatan haiwan adalah tinggi selain mereka perlu menyediakan bahan pembasmi kuman di tempat tinggal dan tempat kerja haiwan berkenaan.
Katanya, pemilik haiwan tidak boleh menggunakan haiwan yang sakit, cedera, bunting dan haiwan yang tidak dijaga dengan baik.
“Keldai perlu diberi makan dan air minum yang sesuai serta cukup setiap hari dan ia tidak sepatutnya membawa beban berlebihan berbanding saiz, umur atau keadaan fizikalnya,” katanya.











