KUALA LUMPUR 10 Okt. – Video menunjukkan seorang lelaki yang didakwa bergelar Datuk memukul pekerja tempat letak kenderaan di sebuah hotel lima bintang tular sejak semalam di media sosial dan aplikasi Whatsapp.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 19 September lalu dan laporan polis telah dibuat namun didakwa tiada tindakan diambil sehingga kini.
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 18 saat itu, kelihatan pekerja tempat letak kenderaan hotel tersebut sedang duduk memerhatikan komputer di pejabatnya sebelum lelaki yang didakwa bergelar Datuk datang dalam keadaan marah serta mencampakkan ‘walkie-talkie’ ke arah mangsa.
Lelaki tersebut kemudian masuk ke dalam pejabat dan memukul mangsa beberapa kali sambil memarahi mangsa.
Bagaimanapun, punca kejadian tersebut tidak diketahui. – UTUSAN ONLINE











